LIMBANG, 5 Mei: Sarawak Forestry Corporation (SFC) berjaya menumpaskan aktiviti penyeludupan serta pemprosesan gaharu dan perdagangan hidupan liar secara haram dalam serbuan di lima lokasi berbeza di Limbang.
Pengurus Besar SFC, Abang Arabi Abang Aimran berkata, kejayaan dalam Operasi Khas Khazanah yang diadakan pada 1 hingga 3 Mei itu melibatkan 22 kakitangan SFC dan 12 anggota daripada Cawangan Khas Sarawak.
“Antara barang rampasan termasuk kayu gaharu, bulu burung kenyalang, hempedu dan kuku beruang, sisik tenggiling, pelbagai jenis mata wang asing dan ringgit Malaysia, senapang buatan sendiri serta peluru, dan sebuah kenderaan pacuan empat roda (4WD) jenis Hilux.
“Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM400,000. Berdasarkan hasil tangkapan awal pada 28 November 2024 di Bandaraya Miri, SFC bersama beberapa agensi penguat kuasa telah menjalankan risikan bagi menumpaskan sindiket penyeludupan dan pemprosesan kayu gaharu serta perdagangan hidupan liar secara haram yang mempunyai rangkaian antarabangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, sembilan suspek telah ditahan dan dibawa ke Balai Polis Limbang, termasuk empat orang warga asing, kes disiasat di bawah Wild Life Protection Ordinance (WLPO) 1998, manakala kes melibatkan senjata api dan peluru diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk siasatan lanjut, siasatan juga dijalankan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
“Kejayaan operasi ini mencerminkan kerjasama strategik antara pelbagai agensi penguat kuasa dalam membanteras jenayah hidupan liar dan aktiviti penyeludupan yang mengancam biodiversiti. SFC akan terus komited dalam memastikan sumber asli negeri ini sentiasa dilindungi dan dipelihara.
“Operasi ini membuktikan komitmen SFC dalam memerangi jenayah hidupan liar dan melindungi sumber asli Sarawak. Kita tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang mengancam biodiversiti negeri ini,” tegasnya.-TVS


