Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Pihak berkuasa Brazil pada Ahad memaklumkan mereka berjaya menggagalkan satu rancangan serangan bom yang menyasarkan konsert Lady Gaga di Pantai Copacabana, Rio de Janeiro. Foto FB Lady Gaga

Polis gagalkan rancangan untuk bom konsert mega Lady Gaga di Rio

ByBernama

BOGOTA (Colombia), 5 Mei: Pihak berkuasa Brazil pada Ahad memaklumkan mereka berjaya menggagalkan satu rancangan serangan bom yang menyasarkan konsert Lady Gaga di Pantai Copacabana, Rio de Janeiro, yang menarik lebih dua juta penonton pada Sabtu malam, lapor Anadolu Ajansi (AA).

Polis Sivil Rio de Janeiro dan Kementerian Kehakiman berkata rancangan serangan itu dipercayai didalangi oleh sebuah kumpulan yang dikenali kerana menyebarkan kebencian terhadap kanak-kanak dan remaja.

Siasatan turut mendapati kumpulan itu menggalakkan kegiatan radikal dalam kalangan remaja, perbuatan mencederakan diri sendiri selain menyebarkan kandungan ganas termasuk berkaitan pedofilia dan jenayah kebencian.

Menurut pihak berkuasa, rancangan itu dilihat sebagai satu “cabaran media sosial”, dengan penganjur merekrut peserta termasuk remaja untuk melaksanakan serangan.

Operasi dinamakan “Fake Monster”, merujuk kepada nama gelaran peminat Lady Gaga, “little monsters” yang  membawa kepada serbuan di beberapa bandar raya Brazil termasuk Sao Paulo dan Rio de Janeiro, yang menyaksikan penahanan seorang lelaki dan seorang remaja serta rampasan peranti elektronik dan bahan berkaitan.

Suspek dipercayai merancang menggunakan bahan letupan buatan sendiri dan bom botol untuk menyerang acara berkenaan.

Konsert pada Sabtu sebahagian jelajah promosi album studio kelapan Lady Gaga yang akan datang, Mayhem, yang menampilkan lagu seperti “Abracadabra” dan “Die with a Smile.”

Konsert yang disifatkan sebagai persembahan terbesar dalam kerjaya penyanyi berkenaan, dibiayai oleh Rio de Janeiro sebagai sebahagian daripada kempen pemulihan ekonomi.

Ia juga menandakan kemunculan semula Lady Gaga di Brazil selepas lebih sedekad, susulan pembatalan konsertnya pada 2017 atas faktor kesihatan.

“Anda menunggu lebih 10 tahun untuk saya. Mungkin anda tertanya-tanya mengapa saya ambil masa begitu lama untuk kembali, tapi sebenarnya saya sedang menikmati kehidupan. Saya sedang menguatkan diri,” katanya kepada peminat di Copacabana.

Lady Gaga bukan artis utama pertama yang mengadakan konsert percuma di Rio. Madonna juga mengadakan konsert dibiayai bandar raya itu di pantai sama pada Mei 2024.

— TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan