Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Pemuda PBB menegaskan sebarang aktiviti penggalian (minyak dan gas) harus mendapat kelulusan dari Kerajaan Sarawak. Foto hiasan Envato

Pemuda PBB tempelak Armada berhubung isu notis terhadap PETRONAS

BySaibi Gi

KUCHING, 5 Mei: Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) menegaskan di bawah Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan, kuasa untuk mengeluarkan lesen serta sijil perlombongan adalah tertakluk kepada Kerajaan Negeri melalui Perkara 2(c) dalam Senarai Negeri (Senarai II).

Dalam kenyataan, Pemuda PBB berkata sebarang aktiviti penggalian (minyak dan gas) harus mendapat kelulusan dari Kerajaan Sarawak.

“Kami menggesa agar semua pihak termasuk Armada Bersatu Malaysia (Armada) agar lebih peka dan merujuk kepada undang-undang negeri Sarawak sebelum membuat apa-apa kenyataan berhubung perihal minyak dan gas serta tuntutan Kerajaan Sarawak.

“Janganlah menganggap seolah-olah undang-undang negeri Sarawak tidak wujud dan seakan-akan dipijak,” kata kenyataan itu yang dibuat susulan kenyataan daripada Armada mengenai notis yang dikeluarkan oleh Kerajaan Sarawak kepada PETRONAS berhubung dengan pengoperasian Miri Crude Oil Terminal (MCOT).

Pemuda PBB menzahirkan rasa kecewa rentetan kenyataan dari Armada yang seolah-olah memperlekehkan hak, pemilikan serta tuntutan Kerajaan Sarawak ke atas sumber minyak dan gas di negeri ini.

Pandangan Armada yang memetik Akta Pembangunan Petroleum (PDA) 1974 sebagai satu-satunya undang-undang utama yang memberikan kuasa mutlak kepada PETRONAS dalam pengurusan dan pengedaran minyak dan gas di Sarawak adalah tidak tepat.

“Ini kerana Sarawak tidak pernah memansuhkan Ordinan Perlombongan Minyak (OMO) 1958 iaitu undang-undang negeri yang kekal berkuatkuasa hingga hari ini untuk mengawal selia sektor minyak dan gas.

“Mana-mana pihak yang ingin beroperasi di Sarawak harus patuh kepada undang-undang negeri termasuk OMO serta Ordinan Pengedaran Gas (DGO) 2016,” kata kenyataan itu lagi.

Pemuda PBB juga menggesa agar undang-undang negeri ini dihormati oleh semua pihak seperti mana segelintir pihak yang menggesa agar Sarawak menghormati undang-undang persekutuan.

“Harapan kami adalah agar kedua-dua pihak, PETROS dan PETRONAS dapat terus bekerjasama berlandaskan peraturan dan undang-undang yang wujud di pihak persekutuan dan negeri demi pembangunan sektor minyak dan gas di Sarawak,” katanya.

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan