KUCHING, 5 Mei: Kuching berpotensi menjadi pusat strategik penyelesaian pertikaian serantau di Borneo di bawah kerangka Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur (BIMP-EAGA).
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, sekarang Kuching sedang membentuk identiti baharu sebagai ‘jangkar serantau’ untuk dialog profesional, pertukaran kepakaran dan diplomasi undang-undang.
“Kuching adalah lebih daripada bandar tuan rumah. Ia sedang menjadi jangkar serantau pertumbuhan mampan dan inklusif selain tempat semula jadi untuk dialog seperti ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Minggu Penyelesaian Pertikaian Alternatif (ADR) Borneo 2025 di Kuching, hari ini.
Edisi kedua Minggu ADR Borneo yang berlangsung selama lima hari menghimpunkan badan profesional, institusi undang-undang dan pakar dari seluruh Malaysia, Borneo serta negara serantau.
Ia sekali gus menjadikan Kuching bukan sahaja sebagai tuan rumah tetapi pusat intelektual dan profesional yang memainkan peranan strategik dalam membentuk sistem penyelesaian pertikaian di peringkat ASEAN.
Selain itu menurutnya, Borneo pula kini muncul sebagai zon tumpuan baharu untuk kerjasama rentas sempadan dalam bidang undang-undang, tenaga dan logistik.
“Ia didorong pertumbuhan ekonomi pesat di Sarawak dan Sabah, pembangunan ibu negara baharu Nusantara di Indonesia serta penglibatan aktif Brunei.
“Usaha-usaha ini memerlukan rangka kerja undang-undang dan sistem penyelesaian pertikaian yang tepat pada masanya, cekap dan relevan,” ujarnya.
Fadillah menjelaskan, perkembangan tersebut memberi kelebihan kepada Kuching menjadi pusat diplomasi undang-undang Borneo.-TVS



