SIBU, 5 Mei: Seorang lelaki warga emas berusia 80 tahun dan cucu perempuannya berusia enam tahun maut selepas motosikal ditunggang bertembung dengan sebuah lori dalam kejadian di Jalan Sibu Jaya-Salim berhampiran Sibu Jaya pagi tadi.
Dalam kejadian sekitar jam 11 pagi itu, kedua-dua mangsa dari Rumah Grace Itun, Sungai Salim dilaporkan dalam perjalanan pulang ke rumah bersama cucunya selepas mengambil kanak-kanak itu balik dari sekolah.
Menurut maklumat awal, motosikal yang ditunggang datuk mangsa dipercayai keluar dari simpang secara mengejut menyebabkan pemandu lori gagal mengelak lalu melanggar motosikal berkenaan, mengakibatkan kedua-dua mangsa tercampak dan terperosok di bawah lori.
Kedua-dua mangsa mengalami kecederaan serius dan tidak sedarkan diri.
Pasukan perubatan yang tiba di lokasi mengesahkan penunggang motosikal meninggal dunia di tempat kejadian.
Cucu perempuannya yang mengalami kecederaan parah dikejarkan ke Jabatan Kecemasan Hospital Sibu, namun disahkan meninggal dunia tidak lama kemudian akibat kecederaan serius.
Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Zulkipli Suhaili ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Sementara itu, pemandu lori berusia 49 tahun, seorang lelaki tempatan, tidak mengalami sebarang kecederaan dan telah ditahan untuk membantu siasatan lanjut.
Mayat kedua-dua mangsa telah dihantar ke unit forensik Hospital Sibu untuk bedah siasat.-TVS



