KUCHING, 5 Mei: Taktik sindiket penyeludupan dadah yang menyamar kiriman dadah sebagai ‘hadiah hari raya’ terbongkar selepas Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sarawak berjaya menggagalkan cubaan menyeludup ganja seberat 2,102 gram dengan nilai keseluruhan RM62,880.00 di sebuah syarikat kurier di Sri Aman.
Pengarah Kastam Negeri Sarawak, Norizan Yahya berkata, taktik sindiket tersebut adalah membuat pengikraran palsu kononnya barangan yang dihantar adalah hadiah perayaan, selain menggunakan alamat tidak lengkap bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.
“Rampasan dibuat dalam dua serbuan berasingan yang dijalankan oleh sepasukan pegawai kastam daripada Cawangan Narkotik JKDM Kuching di sebuah premis kurier di Jalan Durian, Sri Aman,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Dalam serbuan pertama yang dilakukan pada 28 Mac 2025 jam 10.15 pagi, pihak kastam menemui empat bungkusan kiriman yang disyaki mengandungi dadah jenis ganja dengan berat kasar 1,024 gram dan nilai anggaran RM30,720.00.
Kesemua bungkusan disita di bawah Seksyen 30(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Dalam operasi susulan di premis yang sama pada 2 April 2025 jam lebih kurang 11.30 pagi, pegawai kastam menemui empat lagi bungkusan ganja seberat 1,078 gram bernilai RM32,160.00.
Modus operandi yang sama digunakan – dadah dibungkus sebagai hadiah hari raya dan dialamatkan ke lokasi tidak lengkap.
“Jumlah keseluruhan rampasan bagi kedua-dua kes ini ialah 2,102 gram ganja dengan nilai pasaran dianggarkan RM62,880.00,” tambah Norizan.
Kedua-dua kes kini disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup jika sabit kesalahan.
Jika pesalah dikenakan hukuman penjara seumur hidup, mereka juga boleh dikenakan sebatan tidak kurang daripada 15 kali. -TVS



