BINTULU, 5 Mei: Sebuah bot tunda dikendalikan kru warga asing ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Bintulu kerana disyaki melanggar undang-undang perkapalan di muara Sungai Kemena, petang semalam.
Memetik laporan Suara Sarawak, Pengarah Zon Maritim Bintulu, Kepten Maritim Muhammad Suffian Eldine Abdullah berkata, bot tunda tersebut ditahan pada jarak 1.4 batu nautika barat laut dari muara sungai oleh pasukan rondaan Maritim Malaysia dalam operasi bersepadu Op PERMAI 01/2019 dan Op TIRIS 3.0.
“Hasil pemeriksaan mendapati bot terbabit dikendalikan oleh dua kru warganegara India berusia 28 dan 20 tahun.
“Pemeriksaan lanjut mendapati berlaku pertukaran nama nakhoda pada sijil pendaftaran kapal tanpa dimaklumkan secara bertulis kepada Pendaftar Kapal, seperti yang diwajibkan mengikut Seksyen 22(2A), Ordinan Perkapalan Saudagar 1952,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurutnya, kesalahan tersebut boleh dikenakan kompaun sebanyak RM2,500.
Bot dan kru ditahan dan diiring masuk ke Pusat Tahanan Vesel Zon Maritim Bintulu sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan lanjut.-TVS


