KOTA SAMARAHAN, 5 Mei: Program Kembara Sains Borneo (KSB) yang diperkenalkan sejak 2023 adalah untuk menarik minat masyarakat terutama pelajar terhadap keadah pembelajaran Sains, Teknologi dan Inovasi (STI).
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Chang Lih Kang berkata, ia dilaksanakan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) menerusi kaedah pengembaraan ke beberapa lokasi terpilih di Sarawak dan Sabah.
Menurutnya, sebanyak 14 sekolah terpilih tahun ini di Sarawak manakala 16 sekolah di Sabah.
“Melalui kembara ini, pelajar sekolah akan didedahkan dengan kaedah pembelajaran STI di luar kelas melalui pameran bahan interaktif berteraskan sains, teknologi dan inovasi.
“Kita menjangkakan program ini memberikan manfaat kepada 30,000 pelajar. Dengan adanya inisiatif ini, lebih ramai pelajar di bandar dan luar bandar mempelajari sains dan teknologi,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Pelancaran Program Minggu Sains Negara (MSN) 2025 yang berlangsung di UiTM Kampus Sarawak pada Ahad.
Chang menjelaskan, KSB merupakan sebahagian inisiatif MSN dalam usaha menarik minat masyarakat kepada STI bersesuaian tema ‘Merakyatkan Sains, Menginsankan Teknologi dan Mengarusperdanakan Inovasi’.
Selain Sarawak dan Sabah, program tersebut turut diadakan di enam negeri.-TVS



