KUCHING, 4: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) belum memutuskan mengenai penyenaraian muay thai pada Sukan Asia Tenggara (SEA).
Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Dato Gerald Rentap Jabu bagaimanapun berharap sukan tersebut dipertandingkan memandangkan Sarawak kini antara kuasa besar dalam muay thai.
Menurutnya, pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2024, Sarawak muncul juara keseluruhan acara tersebut dengan meraih lima pingat emas.
“Kita berharap ia dipertandingkan pada Sukan SEA memandangkan muay thai semakin berkembang di negara Asia Tenggara seperti Thailand, Kemboja dan Laos selain mempunyai ramai atlet berbakat.
“KBS masih berunding kerana ada pemintaan dari negara lain untuk menambah sukan lain semasa Sukan SEA nanti,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas ditemui pemberita pada Kejohanan Sukan Muay Thai bagi merebut Piala TYT 2025 yang berlangsung di Kuching pada Sabtu.
Gerald menjelaskan, kewujudan beberapa kelab muay thai di Sarawak membuktikan sukan tersebut mempunyai peminat tersendiri.
“Mungkin ada dalam kalangan atlet kita boleh mewakili Malaysia sekiranya sukan ini dipertandingkan pada Sukan SEA,” ujarnya.
Sementara itu, Gerald meminta semua persatuan sukan di Sarawak merancang kejohanan sukan peringkat negeri dan antarabangsa dalam tempoh tiga tahun.
“Penganjuran sukan penting sebagai persediaan mempersiapkan atlet Sarawak menghadapi kejohanan lebih besar di dalam dan luar negara,” jelasnya.-TVS