KUCHING, 3 Mei: Persatuan Wartawan Bahagian Kuching (KDJA) menyifatkan pemergian wartawan veteran, James Ritchie sebagai kehilangan besar kepada dunia kewartawanan Sarawak.
Presidennya, Ronnie Teo berkata, sumbangan mendiang dalam bidang kewartawanan selama lebih lima dekad meninggalkan kesan mendalam bukan sahaja kepada industri media tetapi juga kepada pembangunan naratif sejarah negeri ini.
“KDJA sedih atas pemergian James Ritchie, seorang tokoh wartawan Sarawak yang dedikasinya terhadap penceritaan, laporan penyiasatan dan pendokumentasian sejarah negeri ini akan terus dikenang.
“Beliau bukan sekadar wartawan tetapi juga sejarawan, pencari kebenaran dan penyampai kisah rakyat Sarawak terutama masyarakat peribumi dan isu alam sekitar,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
James Ritchie meninggal dunia di Hospital Umum Sarawak (SGH) hari ini pada usia 75 tahun.
Ronnie berkata, laporan-laporan mendiang banyak membuka mata masyarakat dan mempengaruhi wacana umum selain menjadi rujukan penting dalam memahami isu tempatan.
Katanya, sumbangan mendiang turut melangkaui bilik berita apabila beliau aktif membimbing wartawan muda dan menjadi inspirasi kepada ramai dengan semangat kewartawanan yang tinggi.
“Sarawak kehilangan satu suara penting dalam dunia media namun hasil kerja beliau akan terus hidup dan menjadi panduan kepada generasi akan datang.
“KDJA merakamkan ucapan takziah kepada keluarga, rakan dan kenalan mendiang,”katanya.-TVS