GEORGE TOWN, 21 April: Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang mengingatkan seluruh rakyat agar tidak mengulangi kesalahan paparan Jalur Gemilang kerana ia lambang kedaulatan negara.
Aaron Ago berkata, kedudukan Jalur Gemilang seharusnya dihormati selain dicetak dengan sempurna kerana ia turut menjadi lambang kepada perpaduan seluruh rakyat.
“Ia (paparan salah bendera) sesuatu yang tidak harmoni dan kucar-kacir yang kita tidak mahu dalam Kementerian (Perpaduan Negara).
“Kita mahukan keamanan, perpaduan, kemakmuran dan pembangunan ekonomi dalam suasana aman dengan tidak mahu ketidakamanan tercatus dari situ,” katanya kepada pemberita hari ini.
Beliau ditemui selepas menyampaikan ucapan pada acara Empowering Education Summit 2025 bertemakan Membentuk Masa Depan ASEAN Melalui Kemahiran dan Inovasi di sini.
Media sebelum ini melaporkan, sebuah akhbar tempatan berbahasa Cina membuat permohonan maaf selepas berlaku kesalahan dalam cetakan imej Jalur Gemilang pada muka hadapan akhbar itu baru-baru ini.
Ia memaparkan imej bendera negara tidak mempunyai bulan sabit.
Kesalahan itu berulang sekali lagi apabila penganjur sebuah pameran kelengkapan bayi di ibu negara membuat permohonan maaf apabila salah satu kiosk pempamer memaparkan imej Jalur Gemilang tanpa bulan sabit di belakang pentas.
Sementara itu, dalam ucapannya, Aaron berkata, adalah penting untuk memupuk semangat perpaduan kaum sejak dari kanak-kanak yang boleh dilaksanakan melalui kurikulum pendidikan.
“Kurikulum kebangsaan mestilah melakukan lebih daripada menyampaikan ilmu akademik, dengan memaparkan sejarah bersama, perjuangan dan kejayaan seluruh rakyat selain meraikan kekayaan budaya.
“Apabila kanak-kanak duduk bersama dalam satu kelas, berkongsi pengetahuan, ketawa dan berimpian, mereka juga mula berkongsi kesefahaman,” katanya. – TV