KUCHING, 4 April: Hari Raya Aidilfitri menjadi detik bermakna bagi Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan isteri, Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi untuk mengeratkan hubungan kekeluargaan serta persahabatan.
Memetik laporan Suara Sarawak, Majlis Ramah Tamah Aidilfitri 2025 yang berlangsung di Four Seasons Hotel, Kuala Lumpur, semalam berlangsung meriah diikuti jamuan istimewa serta sesi fotografi menjadikan sambutan Aidilfitri kali ini satu kenangan indah bagi semua yang hadir.
Sebagai sebahagian daripada tradisi, Tun Wan Junaidi dan isteri berkenan menyampaikan duit raya kepada kanak-kanak.
Tun Wan Junaidi dan isteri menzahirkan penghargaan ke atas kehadiran tetamu dan berharap agar majlis tersebut dapat mengeratkan hubungan serta memupuk semangat perpaduan.
“Saya dan Toh Puan amat berbesar hati dapat berkongsi kegembiraan Aidilfitri bersama-sama keluarga, rakan, serta kenalan di Kuala Lumpur.
“Semoga perayaan ini terus memperkukuh hubungan silaturahim serta membawa keberkatan dan kejayaan kepada semua,” katanya.
Majlis tersebut menghimpunkan lebih 200 tetamu, terdiri daripada ahli keluarga, sahabat, tokoh korporat, ahli perniagaan, serta pegawai kanan kerajaan untuk bersama-sama meraikan Syawal dalam suasana harmoni dan penuh muhibah.-TVS



