KUCHING, 4 April: Dua rakan sekampung masing-masing dijatuhkan hukuman penjara 13 bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini kerana mencuri dua unit bateri jentera berat milik sebuah syarikat pembinaan.
Memetik laporan Suara Sarawak, tertuduh yang masing-masing berusia 29 dan 21 tahun itu mengaku bersalah atas satu pertuduhan yang dibacakan bersama di hadapan Majistret Ling Hui Chuan.
Mengikut pertuduhan, mereka didakwa secara bersama mencuri dua unit bateri jentera berat milik sebuah syarikat pembinaan yang diletakkan di Jalan Field, Batu Kawa, sekitar jam 12.30 tengah hari, 27 Mac lalu.
Oleh itu, kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 379A (1) Kanun Keseksaan dan dibacakan bersama-sama Seksyen 34 kanun yang sama.
Jika sabit kesalahan, hendaklah dipenjara tidak kurang daripada satu tahun dan tidak melebihi tujuh tahun dan boleh dikenakan denda.
Mahkamah memerintahkan kedua-dua tertuduh dipenjara berkuat kuasa hari ini.-TVS


