KUCHING, 4 April: Pengorbanan 126 rakyat Sarawak berbangsa Cina yang berjuang menentang penjajahan Jepun semasa Perang Dunia Kedua terus dikenang dalam upacara memorial Sukarelawan Nanyang sempena Festival Qing Ming.
Memetik laporan Suara Sarawak, upacara yang dirasmikan oleh Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr. Sim Kui Hian di Kuil Zhu Sze Kung, Tabuan Laru hari ini memberi penghormatan kepada jasa Sukarelawan Nanyang yang menjadi mekanik dan pemandu setelah menjalani latihan bersama masyarakat Cina dari Asia Tenggara sebelum dihantar ke Wilayah Yunnan, China.
“Upacara ini bukan sahaja untuk mengingati nenek moyang kita, tetapi juga untuk memperingati keberanian Sukarelawan Nanyang yang berperanan penting dalam memastikan bekalan tetap dihantar sepanjang Perang Dunia Kedua,” katanya.
Beliau berkata demikain ketika ditemui pemberita dalam upacara memorial Sukarelawan Nanyang sempena Festival Qing Ming di Kuil Zhu Sze Kung, hari ini.
Dr.Sim mengenang kembali keadaan mencabar semasa Perang Dunia Kedua apabila Jepun menguasai laluan pantai, menyebabkan bekalan dan logistik tidak dapat dihantar melalui laut.
“Akibatnya, kesemua sukarelawan ini terpaksa menggunakan laluan darat melalui Myanmar untuk menyokong tentera China dalam usaha menentang penjajahan.
“Usaha tersebut menjadi bukti bahawa mereka ini bukan sekadar juruteknik, malah menjadi patriot yang menunjukkan ketahanan luar biasa dalam menghadapi kesulitan,” ujarnya.
Beliau turut menggesa masyarakat untuk memahami sejarah yang lebih luas dan mengambil pengajaran daripada peristiwa lampau.
“Memorial sahaja tidak cukup kerana kita mesti terus mendidik generasi akan datang tentang nilai pengorbanan, keamanan, dan perpaduan.
“Walaupun peristiwa ini tidak diajar dalam sukatan pelajaran sekolah, kita tetap perlu mempelajarinya untuk membina masa depan yang cerah berdasarkan perjuangan mereka yang terdahulu,” ujarnya.
Dr. Sim turut merakamkan penghargaan kepada Konsulat Jeneral China di Kuching, pemimpin masyarakat tempatan, dan jawatankuasa Persatuan Penyelidikan Akademik Cina Sarawak (ASCA) serta jawatankuasa kuil Zhu Sze Kung atas dedikasi mereka dalam memastikan legasi Sukarelawan Nanyang dipelihara dan diteruskan.-TVS

