KUCHING, 4 April: Mahkamah Majistret di sini menjatuhkan hukuman denda RM1,000 atau tiga bulan penjara terhadap seorang operator loteri atas kesalahan memiliki loteri awam tanpa lesen dalam sebuah telefon bimbit, Selasa lalu (2 April).
Memetik laporan Suara Sarawak, tertuduh yang berusia 26 tahun dari Bau itu mengaku bersalah atas pertuduhan di bawah Seksyen 9 (1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 di hadapan Majistret Mason Jaro Lenya Barayan.
Jika sabit kesalahan, boleh dihukum denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara enam bulan atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah kedai makan di Stutong, sekitar jam 6.45 petang, 2 April lepas.
Berdasarkan fakta kes, pada hari kejadian, sepasukan polis menahan seorang lelaki yang duduk di kaki lima kedai makan kerana disyaki terlibat dalam penjualan loteri awam tanpa lesen menggunakan telefon bimbit.
Barang-barang tertuduh turut dirampas seperti sebuah telefon bimbit, dan wang tunai berjumlah RM100.
Hasil analisa dan pemeriksaan pakar judi mengesahkan telefon bimbit milik tertuduh digunakan untuk membeli nombor loteri tanpa lesen.-TVS



