KERTEH, 8 Mac: Lebih 700,000 bekas bubur lambuk diedarkan secara serentak di seluruh negara oleh Kementerian Perpaduan Negara (KPN) melalui lebih 3,400 Kawasan Rukun Tetangga (KRT) sempena Program Gerak Rahmah: Jom Masak Bubur Lambuk Perpaduan Peringkat Kebangsaan 2025.
Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, program seumpama ini bukan sahaja berjaya menghimpunkan dan menggerakkan warga KRT secara bersepadu, tetapi juga dapat mengeratkan perpaduan dalam kalangan masyarakat di pelbagai peringkat tanpa mengira latar belakang, kaum dan agama.
“Oleh hal yang demikian, melalui program ini juga dapat melihat keterlibatan dan kebersamaan masyarakat untuk menyediakan bubur perpaduan dan juga berbuka puasa bersama-sama yang menjadi lambang penyatuan dan perpaduan rakyat Malaysia,” katanya menerusi kenyataan yang dikeluarkan hari ini.
Menurut beliau, program anjuran bersama Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) dengan kerjasama Kerajaan Negeri Terengganu ini merupakan anjuran kali keempat yang dianjurkan secara serentak di seluruh negara.
Pada masa sama, beliau turut merakamkan ucapan penghargaan kepada negeri Terengganu atas kesudian menjadi tuan rumah bagi penganjuran program itu pada tahun ini.
Beliau berharap usaha yang dilakukan ini menjadi pemangkin kepada perpaduan yang merupakan tonggak keamanan, keharmonian dan kemakmuran negara. -TVS