Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Menteri Perpaduan Datuk Aaron Ago Dagang. Foto fail Bernama

Jangan sebar kenyataan hina, persenda agama di media sosial – Aaron

ByBernama

KUALA LUMPUR, 6 Mac: Menteri Perpaduan Datuk Aaron Ago Dagang memberi amaran keras kepada semua pihak agar tidak mengulangi perbuatan menyebarkan kenyataan berbentuk provokasi, penghinaan dan mempersendakan agama di platform media sosial.

“Saya memohon Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) segera mengambil tindakan sewajarnya terhadap individu yang terlibat dalam penyebaran kandungan tidak bertanggungjawab ini.

“Tindakan tegas melalui Seksyen 298 Kanun Keseksaan, Seksyen 504 Kanun Keseksaan, Seksyen 505 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 perlu diambil untuk memastikan keselamatan serta keharmonian masyarakat sentiasa terpelihara,” katanya dalam kenyataan semalam.

Beliau berkata demikian susulan tindakan segelintir netizen yang menyebarkan kenyataan berkaitan isu 3R (Kaum, Agama dan Raja) di platform media sosial.

Aaron berkata kementeriannya akan terus melaksanakan Kempen Cakap Baik-Baik serta menerapkan prinsip integrasi nasional Faham, Hormat dan Terima melalui pelbagai program bagi mendidik rakyat Malaysia supaya menghormati agama dan budaya penganut lain.

“Setiap individu bertanggungjawab untuk memastikan bahawa ruang maya digunakan dengan bijak dan tidak menimbulkan perpecahan atau ketegangan dalam masyarakat. Tindakan tidak bertanggungjawab yang menjurus kepada perbuatan menghina agama dan sensitiviti kaum adalah suatu ancaman kepada keamanan dan keharmonian negara,” katanya.

Aaron juga mengingatkan rakyat yang terlibat menyebarkan kenyataan provokasi dan penghinaan terhadap agama lain supaya memikirkan kesan buruk perbuatan mereka terhadap keharmonian masyarakat di negara ini.

“Tindakan provokatif yang tidak menghormati perasaan agama dan kaum lain boleh merosakkan keharmonian negara kita,” katanya. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan