KUCHING, 3 Mac: Sarawak dan Australia terus memperkukuh kerjasama dalam bidang pendidikan dan tenaga.
Perkara tersebut dimaklumkan oleh Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Malaysia Danielle Heinecke selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Wisma Bapa Malaysia hari ini.
“Kami datang ke Sarawak untuk berbincang mengenai kolaborasi akan datang dengan Australia. Sudah tentu pendidikan penting yang menjadi sebahagian daripada kolaborasi ini, tetapi selain itu kami juga akan membuat (kolaborasi) dalam bidang tenaga dengan Sarawak Energy.
“Kami turut menandatangani perjanjian kolaborasi dalam penyimpanan tenaga. Ini membantu Sarawak melihat kepada keperluan tenaga masa depan dan pilihan berbeza tentang cara ia boleh menggunakan penyimpanan untuk memenuhi rancangan tersebut,” katanya ketika ditemui selepas kunjungan hormat itu.
Jelasnya, kunjungan hormat tersebut juga untuk menjemput Abang Johari bersempena dengan acara alumni sambutan 25 tahun Swinburne University.
Dalam pada itu, beliau berharap akan lebih banyak kerjasama wujud antara Australia dan Sarawak.
“Kami ingin mendapatkan lebih ramai pelabur ke Sarawak dan pastinya terdapat pelabur dari Australia ini melihat Sarawak sebagai pilihan dalam sektor tenaga dan perlombongan tetapi saya tidak boleh menjelaskan secara terperinci sekarang,” tambahnya.
Terdahulu, Danielle turut mengadakan kunjungan hormat kepada Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Dr Sim Kui Hian di Wisma Bapa Malaysia. – TVS



