KUCHING, 3 Mac: Ramzi Abdillah kini dilantik sebagai Pengarah Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) berkuat kuasa 3 Mac 2025 bagi menggantikan Salwa Pauzi yang bersara baru-baru ini.
Majlis suai kenal dan penyerahan tugas pengarah baharu yang berlangsung hari ini turut dihadiri Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi (Utiliti) Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi.
Pada majlis tersebut, Ramzi turut diberikan penerangan mengenai peranan, tugas, misi dan visi DBKU.
Menurut Dr. Abdul Rahman, beliau yakin dan percaya pengalaman, kepimpinan serta dedikasi Ramzi mampu melonjakkan DBKU untuk terus mencapai kecemerlangan dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada warga Kuching Utara.
“Malah, sebagai sebuah organisasi bertanggungjawab terhadap pembangunan bandar raya, DBKU memainkan peranan penting dalam memastikan kesejahteraan masyarakat.
“Oleh itu, saya menyeru seluruh warga DBKU terus bekerjasama, berinovasi dan memperkukuhkan semangat kerja berpasukan dalam mencapai visi dan misi ditetapkan,” katanya.
Hadir sama Datuk Bandar Kuching Utara, Dato Hilmy Othman.-TVS



