Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali hadir pada Program Bubur Lemak Sarawak anjuran PPWS dan KOPERWANIS, mengagihkan sebanyak 700 bungkus bubur lemak kepada ahli PPWS dan komuniti masjid serta surau di sekitar Kuching, hari ini. Foto TVS

PPWS, KOPERWANIS agih 700 bungkus bubur lemak sempena Ramadan

ByAhmad Burhanuddin

KUCHING, 3 Mac: Persekutuan Perkumpulan Wanita Sarawak (PPWS) bersama Koperasi Perkumpulan Wanita Sarawak Berhad (KOPERWANIS) hari ini mengagihkan sebanyak 700 bungkus bubur lemak kepada ahli PPWS dan komuniti masjid serta surau di sekitar bandaraya ini.

Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan) Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali berkata, program pengagihan bubur seperti ini bukan sahaja mencerminkan tradisi Ramadan yang penuh dengan kebaikan, tetapi juga menjadi simbol perpaduan dalam kalangan ahli PPWS dan komuniti setempat.

“Alhamdulillah, hari ini merupakan pengagihan bubur lemak. Tadi, Kak Janah (Norjanah Razali) kata sekarang ini tidak perlu lagi memakai istilah bubur lambuk, saya rasa ia amat bagus dan ia adalah perkara baru yang boleh diwar-warkan.

“Kita boleh cuba menggunakan istilah nama bubur lemak, seperti bubur lemak Sarawak yang sedap,” katanya ketika berucap menyempurnakan Program Bubur Lemak Sarawak di Bangunan KOPERWANIS di Metrocity, Matang di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Pengerusi Negeri PPWS, Zainab Tambi, Naib Pengerusi Negeri PPWS, Aishah Edris dan Pengerusi KOPERWANIS, Norjanah Razali yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengelola Program Bubur Lemak Sarawak.

Mengulas lanjut, Hasidah berkata, kegiatan penyediaan bubur lemak secara bergotong-royong sebelum waktu berbuka puasa telah menjadi satu kebiasaan dalam kalangan ahli PPWS dan masyarakat setempat yang mencerminkan kesatuan yang kuat dalam semangat Ramadan.

Menurutnya lagi, selain mengagihkan bubur lemak kepada ahli dan komuniti, tujuan utama program tersebut adalah untuk mengajar nilai kesyukuran dan empati, terutamanya kepada golongan yang kurang berkemampuan.

“Seperti yang kita tahu, sempena Ramadan Al-Mubarak ini, PPWS pun sama tidak mahu ketinggalan untuk bersama-sama berkongsi dan memberikan bubur lemak kepada semua untuk mendatangkan keceriaan, terutamanya pada waktu berbuka berpuasa tidak lama lagi,” katanya.

Tambah Hasidah, turut diadakan pertandingan memasak bubur pedas pada program tersebut dan beliau berharap usaha itu dapat mengekalkan warisan hidangan berkenaan untuk terus dikenali sebagai makanan khas Sarawak. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan