KUALA LUMPUR, 3 Mac: Sepak takraw dan chinlone pada Sukan SEA Thailand 2025 akan diadakan di Stadium Perbandaran Nakhon Pathom, terletak kira-kira 60 kilometer dan mengambil masa lebih kurang satu jam dari Bangkok.
Presiden Persekutuan Sepaktakraw Asia (ASTAF) Datuk Abdul Halim Kader berkata Nakhon Pathom adalah lokasi strategik dari segi kemudahan, termasuk ketersediaan hotel bertaraf lima bintang terletak tidak jauh dari venue pertandingan selain dapat memuatkan 4,000 penonton bagi menyaksikan acara yang itu.
“Selain itu, Nakhon Pathom menjadi tuan rumah kepada Jawatankuasa Pengurusan Pertandingan Sukan SEA, Persekutuan Sepaktakraw Antarabangsa (ISTAF) dan Jawatankuasa Perkhidmatan Teknikal Pertandingan, serta beberapa pihak lain.
“Dari segi teknikal, ASTAF yakin sepak takraw dan chinlone akan dilaksanakan secara profesional, dan pelaksanaan sistem bantahan video diteruskan dengan penambahbaikan dalam pengagihan sistem bantahan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, Abdul Halim berkata Majlis Persekutuan Sukan SEA (SEAGF) dan Jawatankuasa Penganjur Sukan SEA Thailand telah meluluskan acara regu, regu, kuadran, hoop, dan kuadran campuran bagi lelaki dan wanita dalam sepak takraw, serta chinlone (linking) bagi lelaki dan wanita untuk dipertandingkan pada temasya dwitahunan itu.
Sukan SEA Thailand 2025 akan berlangsung pada 9 hingga 20 Dis depan.


