TOKYO, 3 Mac: Harga beras di Jepun kekal tinggi meskipun kerajaan mengumumkan rancangan dua minggu lalu untuk mengeluarkan stok simpanannya bagi mengawal kenaikan harga, lapor Kyodo News.
Pada 14 Feb, kerajaan mengumumkan pengeluaran sehingga 210,000 tan beras daripada stok simpanannya, yang dijangka diagihkan kepada pemborong pada pertengahan Mac selepas proses bidaan.
Bekalan itu dijangka mula berada di pasaran antara akhir Mac dan awal April.
Kementerian Pertanian sebelum ini menjangkakan pengumuman itu sahaja sudah memadai untuk menurunkan harga beras, namun kesan yang diharapkan tidak berlaku, kata seorang eksekutif pemborong beras utama.
Sebagai contoh, harga borong bagi beras perang Koshihikari dari Wilayah Niigata kekal sekitar 48,300 yen (US$320) hingga 48,500 yen setiap 60 kilogram setakat 26 Feb, hampir tidak berubah berbanding sebulan sebelumnya, menurut firma penyelidikan pasaran beras, Beikoku Databank.
“Setelah keputusan bidaan diumumkan, barulah ia dijangka memberi kesan kepada penurunan harga,” kata seorang pegawai firma penyelidikan itu.
Kerajaan merancang untuk mengeluarkan 150,000 tan beras dalam fasa pertama dan tambahan 60,000 tan lagi jika diperlukan.
Menurut data harga pengguna yang dikeluarkan bulan lalu, harga beras melonjak 27.7 peratus pada 2024 berbanding tahun sebelumnya, peningkatan terbesar sejak 1975.
Pada Disember sahaja, harga melonjak 64.5 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Ia berpunca daripada hasil tuaian yang rendah pada musim panas 2023 akibat suhu tinggi yang menjejaskan bekalan beras untuk edaran pada tahun berikutnya. Peningkatan mendadak jumlah pelancong asing juga mendorong permintaan lebih tinggi di restoran.
Kerajaan Jepun kini mempunyai 910,000 tan beras dalam simpanan, dengan jumlah pengeluaran yang dirancang mewakili lebih 20 peratus daripada rizabnya.-TVS



