PUTRAJAYA, 4 Feb: Malaysia terus mengukuhkan perpaduan dengan menyambut Minggu Keharmonian Antara Penganut Agama Sedunia (WIHW) ataupun World Interfaith Harmony Week.
Menteri Perpaduan Negara, Datuk Seri Aaron Ago Dagang menegaskan bahawa keharmonian memerlukan usaha berterusan dan komitmen semua pihak.
“Sebagai sebuah negara yang menjunjung tinggi prinsip “Harmoni Dalam Kepelbagaian”, kita mesti bekerjasama untuk memperkukuh ikatan antara agama, etnik dan budaya.
“Keharmonian bukanlah satu keadaan yang wujud secara automatik, tetapi memerlukan usaha berterusan daripada semua pihak untuk mengekalkannya,” katanya.
Beliau turut menambah, keunikan Malaysia sebagai sebuah negara yang kaya dengan kepelbagaaian, sekiranya dijaga dengan betul, boleh menjadi kekuatan yang membentuk identiti negara Malaysia.
“Keharmonian bukan terjadi secara automatik, ia perlu dibina melalui sikap memahami, menghormati, dan menerima kepelbagaian.
“Faham, Hormat, Terima adalah nilai yang perlu diterapkan dalam setiap lapisan masyarakat,” tambahnya.
WIHW merupakan acara tahunan disambut pada minggu pertama bulan Februari setiap tahun selari dengan resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sejak 2010.
Sebagai langkah untuk menyemarakkan sambutan Minggu Keharmonian Antara Penganut Agama Sedunia, Kementerian Perpaduan Negara akan terus memberikan fokus kepada inisiatif yang memperkukuh keharmonian antara agama.
Antara program yang akan diadakan sempena sambutan ini termasuklah Jejak Harmoni Metasemesta (14 – 16 Februari 2025), Perarakan Harmoni (15 dan 16 Februari 2025), Program Jejak Harmoni (15 Februari 2025), Dialog Harmoni (16 Februari 2025) dan Mesyuarat Jawatankuasa HARMONI (19 Februari 2025). -TVS