Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Dato Sri Fatimah Abdullah menyantuni mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Kampung Pujut Tanjung Batu di Miri, hari ini. Foto Vanessa Enjop (TVS)

Pemantauan kesihatan dan emosi mangsa banjir perlu diberi perhatian – Fatimah

ByVanessa Enjop

MIRI, 2 Feb: Pemantauan kesihatan dan perhatian terhadap kesejahteraan emosi di setiap Pusat Pemindahan Sementara (PPS) amat penting, terutama semasa bencana seperti banjir pada masa ini, kata Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah.

“Kami mendapat laporan mengenai kes-kes kesihatan ringan seperti demam, batuk dan tekanan darah tinggi yang dapat dirawat tanpa perlu dihantar ke hospital, kecuali dalam kes yang lebih serius. Sebagai langkah berjaga-jaga, doktor juga memberi nasihat agar mangsa tidak menyimpan makanan lebih dari empat jam,” katanya selepas mengadakan lawatan ke PPS Kampung Pujut Tanjung Batu, hari ini.

“Alhamdulillah, sebelum musim tengkujuh melanda, kerajaan telah meluluskan kenaikan kadar bantuan bencana, termasuk bantuan makanan kepada mangsa banjir. Kadar bantuan makanan telah dinaikkan kepada RM50 seorang sehari,” tambahnya.

Fatimah turut menjelaskan bahawa keperluan kanak-kanak di PPS, termasuk pembekalan pampers dan susu, turut diberi perhatian mengikut permintaan setiap keluarga.

“Jenis pampers dan susu berbeza mengikut keperluan setiap keluarga dan kami berusaha memastikan semua keperluan mereka dipenuhi,” tambahnya.

Beliau turut menekankan bahawa perhatian lebih perlu diberikan kepada pesakit dengan keperluan khas, seperti mereka yang menjalani dialisis atau rawatan kemoterapi, bagi memastikan mereka mendapat perawatan yang sesuai.

Menurutnya, bagi menjaga kesejahteraan mental dan emosi kanak-kanak, kerajaan berusaha menyediakan aktiviti di PPS bagi mengurangkan tekanan yang dihadapi oleh mereka.

“Walaupun terdapat kekangan ruang, kami berusaha menyediakan aktiviti yang membolehkan kanak-kanak tidak merasa bosan dan tertekan. Kami ingin mereka merasa lebih selesa dan sedikit terhibur sepanjang berada di pusat pemindahan,” ujarnya.

Selain itu, di beberapa PPS yang mempunyai ruang lebih luas, kanak-kanak diberi peluang untuk melakukan aktiviti luar yang memberikan mereka udara segar serta membantu mengurangkan perasaan cemas akibat situasi banjir.

Setakat ini, di Bahagian Miri (daerah Miri, Subis dan Beluru), jumlah mangsa banjir yang dicatatkan adalah seramai 1,138 orang dengan 12 PPS dibuka untuk menempatkan mereka.-TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan