Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Awau (kanan) bersama anaknya, Catherine, mengenang nasib setelah rumah mereka musnah akibat banjir. Bot Awau juga karam ketika cuba menyelamatkan mangsa banjir di Kemunting. Foto TVS

Banjir Bintulu: Aki hilang punca rezeki, bot bawa cucu ke sekolah

ByDouglas Elliot

BINTULU, 2 Feb: Sudah jatuh ditimpa tangga, seorang warga emas di sini terpaksa menahan sebak mengenang nasib setelah rumah dan bot yang digunakan sebagai mata pencarian utama musnah akibat banjir.

Lebih menyayat hati, bot milik Awau Enchol, 71, karam semasa dia sedang membantu memindahkan mangsa banjir di kawasan Kemunting.

“Cucu-cucu yang ke sekolah, saya yang hantar setiap pagi. Kini bot dan enjin bot sudah tiada. Saya tidak tahu macam mana mahu menghantar mereka kelak,” katanya ketika ditemui TVS di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Suarah di sini, semalam.

Menurut anaknya, Catherine Awau, 40, bot berkenaan juga merupakan satu-satunya kenderaan yang digunakan bapanya bagi mencari rezeki.

“Kalau dia tidak ada bot, dia tidak dapat mencari makan sebab dia bergantung sepenuhnya dengan bot itu,” katanya.

Terdahulu, video Awau sedang cuba menyelamatkan mangsa banjir tular di media sosial dengan ramai pengguna terharu dengan tindakan berani wira tak didendang berkenaan.

Tangkap layar bot Awau karam sewaktu sedang menyelamat mangsa banjir di kawasan Kemunting, Bintulu pada Rabu. Foto TVS

Menceritakan detik cemas pada hari kejadian, Catherine berkata, mereka tidak menduga untuk kehilangan rumah dan barangan dalam sekelip mata.

Tambahnya, banjir kali ini paling buruk mereka hadapi dengan air banjir menaiki paras bumbung.

“Paras air naik secara mendadak. Kami tidak sangka kejadian ini berlaku sehingga menyebabkan barangan musnah dan rumah dihanyut air bah.

“Kalau kami berpindah keluar daripada PPS ini nanti, kami tidak pasti mana kami hendak tinggal. Semuanya musnah,” katanya lagi.

Sementara itu, bagi pembuat belacan sambilan Rosnah Haji Disek, 70, turut berkongsi pengalaman saat dipindahkan ke PPS pada malam kejadian.

“Pada mulanya, saya tak berniat untuk berpindah tetapi anak saya di Kuching berpesan untuk menurut arahan berpindah kerana bimbang air akan naik lagi malam itu.

“Saya tidak membawa apa-apa waktu itu, hanya berbekalkan beberapa helai pakaian yang dibungkus dalam plastik,” katanya.

Rosnah reda dengan dugaan musibah banjir yang menimpa. Foto TVS

Meskipun berhadapan ujian mencabar, Rosnah menerima dugaan itu dengan reda dan penuh tawakal.

“Syukur Alhamdulillah, yang penting kami tiga beranak dapat keluar dengan selamat, walaupun keadaan rumah tidak elok, sekurang-kurangnya kami masih ada rumah.

“Mudah-mudahan siapa tahu, rezeki kemudian Allah akan beri,” katanya lagi. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan