BELAGA, 1 Jan: Seorang warga emas yang terjatuh ke dalam sungai di Punan Bah, Belaga, ketika mencari durian dijumpai meninggal dunia, hari ini.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, mayat Micheal Sait Lanjau, 60, ditemui pasukan SAR pada ja 9.10 pagi kira-kira satu kilometer dari pos kawalan bomba.
Mangsa katanya, disahkan meninggal dunia dan mayatnya diserah kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
“Operasi pencarian mangsa ditangguhkan semalam sebelum disambung semula hari ini.
“Ia turut dibantu penduduk kampung, polis, Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan Lembaga Sungai-sungai Sarawak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam kejadian kira-kira 7.30 pagi itu, mangsa dikhuatiri lemas selepas terjatuh daripada perahunya dipercayai ketika mencari buah durian.
Sehubungan itu, bomba menerima panggilan kejadian pada jam 1.10 petang sebelum mengarahkan sepasukan anggota ke lokasi berkenaan.
Mangsa dipercayai terjatuh dari perahu yang dinaikinya sebelum hilang dihanyutkan arus.
Kejadian sempat disaksikan penduduk kampung yang melihat mangsa terjatuh ke dalam sungai.
Bagaimanapun, mereka tidak sempat menyelamatkan lelaki berkenaan kerana hanya melihat insiden itu dari jauh. – TVS



