KUCHING, 3 Jan: Sarawak kini mempunyai 4,600 doktor yang berkhidmat di sektor kerajaan dan swasta.
Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Dr Sim Kui Hian berkata daripada jumlah itu, 4,000 doktor bertugas di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), manakala selebihnya berkhidmat dalam sektor swasta.
“Doktor-doktor di sektor swasta ini terlibat dengan pelbagai agensi berbeza seperti hospital, klinik dan institusi seperti UNIMAS,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Malaysian Medical Association (MMA) Sarawak dan Pejabat The Society of Private Medical Practitioners Sarawak (SPMPS) di sini, hari ini.
Dr Sim turut mengajak semua doktor di negeri ini, sama ada di sektor awam mahupun swasta, untuk bersama-sama memajukan sektor perubatan Sarawak menjelang aspirasi negeri pada tahun 2030.
Melalui kewujudan MMA Sarawak dan SPMPS, Dr Sim yakin kerjasama erat antara doktor dapat meningkatkan mutu perkhidmatan perubatan di Sarawak.
“Walaupun secara formal anda mungkin berbeza, hakikatnya anda semua adalah sebahagian daripada kumpulan profesional yang sama.
“Saya menyeru anda semua untuk berganding bahu dengan kerajaan dalam usaha membangunkan Sarawak ke arah era baharu menjelang tahun 2030,” katanya. – TVS



