Sibu, 1 Jan: Polis menahan seorang lelaki semalam susulan dipercayai terlibat dalam memberi komen berbaur ugutan bunuh terhadap seorang artis wanita tempatan melalui platform media sosial baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Zulkipli Suhaili berkata suspek, 35, yang bekerja sebagai pemandu lori, ditangkap di Kota Sentosa di Kuching susulan hasil siasatan selepas laporan polis yang dibuat oleh mangsa pada 30 Disember 2024.
“Suspek ditahan sekitar jam 9.15 malam, dan telefon pintarnya telah dirampas sebagai bahan bukti bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini
Menurutnya, kes ini melibatkan ugutan yang berbau ancaman keselamatan terhadap artis berkenaan yang ketika ini berada di Sibu atas urusan kerja.
“Siasatan awal mendapati komen berunsur ugutan itu dibuat oleh suspek di platform media sosial,” katanya.
Menurut Zulkipli, suspek kini ditahan reman bermula hari ini di Mahkamah Sibu untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 507 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Jika disabitkan kesalahan, hukuman berat boleh dikenakan, termasuk penjara,” ujarnya.
Zulkipli dalam pada itu turut menasihatkan orang ramai agar lebih bertanggungjawab dalam penggunaan media sosial dan mengelakkan daripada membuat kenyataan yang melanggar undang-undang. – TVS



