Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Usaha kerajaan menjadikan platform media sosial di Malaysia lebih selamat apabila Lesen Kelas Pemberi Perkhidmatan Aplikasi (CASP) bagi penyedia platform media sosial secara rasmi berkuat kuasa hari ini. Foto Envato

Lesen penyedia media sosial mula berkuat kuasa hari ini

ByBernama

KUALA LUMPUR, 1 Jan: Melangkah ke tahun 2025 hari ini, turut menandakan satu lagi lembaran baharu dalam usaha kerajaan menjadikan platform media sosial di Malaysia lebih selamat apabila Lesen Kelas Pemberi Perkhidmatan Aplikasi (CASP) bagi penyedia platform media sosial secara rasmi berkuat kuasa hari ini.

Langkah pelesenan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) itu dirangka bertujuan untuk meningkatkan keselamatan dalam talian, melindungi pengguna dan memperkukuh kawal selia ke atas penyedia perkhidmatan pesanan Internet serta media sosial.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) pada 27 Julai 2024, mengumumkan bahawa semua perkhidmatan media sosial dan pesanan Internet yang mempunyai sekurang-kurangnya lapan juta pengguna berdaftar di Malaysia perlu memohon lesen berkenaan.

Menurut MCMC, kegagalan memperoleh lesen selepas tarikh kuat kuasa adalah satu kesalahan dan tindakan perundangan sewajarnya boleh diambil di bawah Akta 588.

Sehingga semalam, Telegram dan Tencent (WeChat) antara penyedia perkhidmatan yang telah mengemukakan permohonan pelesenan untuk beroperasi di negara ini.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil sebelum ini berkata pelesenan kepada platform media sosial adalah penting bagi mengatasi pelbagai permasalahan dalam Internet antaranya isu buli siber and pengantunan kanak-kanak.

Beliau berkata sejajar dengan pelaksanaan pelesenan platform media sosial itu, Kementerian Komunikasi akan memantau dan mengambil langkah tambahan sekiranya terdapat penyedia platform yang gagal melaksanakan larangan had umur penggunaan ditetapkan.

Pada 9 Dis lepas, Dewan Rakyat meluluskan pindaan kepada Akta 588 yang antara lain meminda Seksyen 211(c) dengan menggantikan perkataan ‘seseorang’ dengan perkataan ‘pemberi perkhidmatan aplikasi kandungan’ selain menggantikan perkataan ‘lima puluh ribu’ dengan perkataan ‘satu juta’.

Menerusi pindaan itu, seksyen itu tidak lagi terpakai kepada orang awam sebaliknya penggunaannya adalah kepada pemegang lesen CASP dengan denda dalam seksyen tersebut diselaraskan mengikut perkembangan semasa.

Tahun lepas, negara dikejutkan dengan beberapa insiden di platform media sosial termasuk kematian tragis seorang pempengaruh di aplikasi TikTok yang didakwa membunuh diri kerana tertekan akibat buli siber.

Selain itu pada 23 Dis, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan MCMC melaksanakan operasi bersepadu ‘OP PEDO’ bagi kesalahan seksual secara dalam talian melibatkan bahan penganiayaan seksual kanak-kanak (CSAM) yang membawa kepada penahanan 13 lelaki tempatan termasuk seorang warga emas berusia 74 tahun, selain turut merampas hampir 40,000 bahan CSAM dan pornografi dewasa. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan