MIRI, 12 Dis: Seorang lelaki berumur 31 tahun diburu polis kerana disyaki terlibat dalam kes samun bersenjatakan parang di sebuah premis di Simpang Ngu Batu Niah, Jalan Miri-Bintulu dekat sini.
Ketua Polis Daerah Miri, ACP Naga Chabu berkata pihaknya menerima satu laporan daripada seorang pengadu dan kertas siasatan telah dibuka dan disiasat di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan.
“Siasatan awal pihak polis mendapati pengadu yang sedang menjaga kaunter pembayaran di premis yang menjalankan perniagaan runcit telah didatangi oleh seorang suspek dan menunjukkan sebilah parang serta meminta wang tunai daripada pengadu.
“Rakaman litar tertutup (CCTV) memperlihatkan suspek seorang lelaki dan suspek telah dikenal pasti,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Sehubungan itu, beliau memohon mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkaitan agar tampi ke Balai Polis yang berdekatan atau menghubungi di talian 085-433730 untuk menyalurkan maklumat.
“Pihak PDRM amat menghargai keprihatinan masyarakat terhadap keselamatan dan persekitaran di daerah Miri,” katanya.



