LIMBANG, 12 Dis: Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Zon Tujuh Limbang berjaya menyelamatkan aset dan harta benda bernilai RM6 juta dalam insiden kebakaran bagi tempoh Januari hingga November tahun ini.
Ketua Bomba Zon Tujuh Limbang Ramlan Marajan berkata, dalam tempoh sama, sejumlah RM2 juta kerugian harta benda termasuk bangunan dan kenderaan direkodkan akibat dijilat api berbanding RM12 juta kerugian pada tahun 2023.
Menurutnya, sepanjang tempoh itu juga sebanyak 37 kebakaran direkodkan.
“Bagi kes kebakaran, JBPM Zon Tujuh Limbang merekodkan sebanyak 37 kes dan untuk tahun ini saja jumlah kerugian kita anggarkan adalah RM2 juta dan aset yang berjaya diselamatkan bernilai RM 6 juta,” katanya kepada media selepas Majlis Apresiasi Zon Tujuh JBPM Negeri Sarawak Tahun 2024 di Dewan Bunga Raya Limbang malam tadi.
Turut sama hadir Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Limbang Clarence D.Primus Tiandun, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lawas Azman Ibrahim dan Pegawai Bahagian Keselamatan Kebakaran (BKK) Zon Tujuh Limbang Zaki Hussin.
Menurutnya, JBPM Zon Tujuh Limbang juga bersiap sedia untuk menghadapi Monsun Timur laut (MTL) dengan mempersiapkan kekuatan anggota pada tahap optimum.
“Setakat ini hanya 20 peratus anggotanya dibenarkan bercuti manakala peralatan logistik, kebombaan dan penyelamatan juga dalam keadaan baik selain meningkatkan kolaborasi bersama agensi kerajaan lain dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Limbang,” ujarnya. -TVS.


