SAMARAHAN, 12 Dis: Keberkesanan sistem pendidikan yang disampaikan kepada golongan Orang Kurang Upaya (OKU) bagi membantu mereka mencapai perkembangan dari segi fizikal, mental, tingkah laku dan psikologi.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Sri Fatimah Abdullah berkata pencapaian yang membanggakan adalah kanak-kanak di bawah One-Stop Early Intervention Centre (OSEIC) berjaya dimasukkan ke sekolah aliran perdana.
Menurutnya, perkara tersebut merupakan visi dan misi merek yang mahu semua kanak-kanak di Sarawak termasuk yang berkeperluan khas itu mendapatkan pendidikan dan melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi sama ada ke universiti mahupun ke sekolah berkemahiran khas.
“Ada di antara anak-anak yang dari OSEIC diterima ke aliran perdana dan ini adalah satu pencapaian dan kita percaya ini merupakan satu perkara yang juga diminta oleh ibu bapa.
“Kita mahu setiap anak di Sarawak mempunyai pendidikan dan kalau dia tidak mampu untuk meneruskan sampai ke peringkat universiti maka dia boleh melanjutkan ke insititusi kemahiran,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Sambutan Hari Orang Kurang Upaya Sarawak Tahun 2024 di Pusat Pemulihan Samarahan di Kuching pada Khamis.
Tema Sambutan Hari Orang Kurang Upaya pada tahun 2024 ini ialah “Memperkasa Kepimpinan OKU, Demi Inklusiviti Mampan” yang menegaskan pentingnya suara dan kepimpinan OKU dalam membentuk masyarakat inklusif.
Tema terbabit membuktikan kepimpinan dari komuniti OKU turut diberi perhatian dalam memastikan keperluan dan aspirasi mereka diangkat serta dihormati. -TVS


