KUALA LUMPUR, 12 Dis: Delegasi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak berpeluang memperkasa fahaman undang-undang di Malaysia membabitkan dua badan perundangan iaitu Parlimen dan DUN menerusi kunjungan mereka ke Parlimen Malaysia hari ini.
Yang di-Pertua Dewan Negara, Datuk Awang Bemee Awang Ali Basah berkata kunjungan itu juga bertujuan untuk mempelajari perkara-perkara yang boleh diterapkan dalam usaha penambahbaikan sistem perundangan di DUN Sarawak.
“Mereka juga datang ke sini untuk sesi bajet yang mana sangat penting dalam negara kita.
“Ini menunjukkan bahawa DUN Sarawak amat prihatin mengenai Undang-Undang Perbekalan di Malaysia,” jelasnya.
Beliau berkata demikian kepada TVS ketika ditemui selepas menyantuni delegasi DUN Sarawak pada majlis makan tengah hari di Dewan Banquet, Blok Utama Parlimen Malaysia di sini hari ini.
Awang Bemee turut mengalu-alukan kedatangan delegasi DUN dari negeri-negeri lain di seluruh negara dan berhubung dengan pihak Dewan Negara untuk tujuan kerjasama.
Untuk rekod, delegasi DUN Sarawak yang melawat Parlimen hari ini terdiri daripada 15 orang pegawai dan diketuai oleh Setiausaha DUN Sarawak, Nur Azhar Bujang. -TVS


