MIRI, 12 Dis: Seramai 18 kakitangan Petronas Dagangan Berhad (PDB) menyertai Kursus Keselamatan Kebakaran yang berlangsung dari 10 hingga 12 Disember.
Kursus tersebut dianjurkan Pejabat Zon 6 Sarawak dengan kerjasama Balai Bomba dan Penyelamat Lutong, Miri.
Pegawai Balai Bomba dan Penyelamat Lutong Henry Jugah berkata, sesi teori berlangsung selama dua hari pertama di Bilik Mesyuarat Utama Pejabat Zon 6 Miri.
“Sepanjang kursus ini, peserta didedahkan kepada pelbagai modul penting antaranya penggunaan tali pandu, asas kimia kebakaran, pengenalan alat pernafasan kendiri (SCBA) dan kaedah operasi serta penyelamatan menggunakan peralatan khas.
“Latihan praktikal turut memberi penekanan kepada penggunaan alat pemadam api mudah alih, teknik menyelamat di kawasan sempit dengan bantuan SCBA serta kawad operasi secara berperingkat,” katanya.
Kursus tersebut diakhiri dengan majlis penutupan yang menampilkan simulasi kebakaran yang memberi peluang kepada peserta mempraktikkan ilmu diperoleh dalam situasi sebenar,
Kursus tersebut melibatkan kakitangan PDB dari Kuching Aviation Fuel Terminal, Lapangan Terbang Kuching, Sibu, Bintulu, dan Miri serta terminal bahan api di Miri dan Bintulu. -TVS

