KUCHING, 28 Nov: Kementerian Perpaduan Negara telah diberi mandat untuk melaksanakan Program Kampung Angkat MADANI di Kampung Batu Papan, Gua Musang, Kelantan dengan peruntukan RM2.5 juta.
Menterinya, Dato Sri Aaron Ago Dagang berkata sebanyak 18 kerja-kerja fizikal telah dikenal pasti dan dilaksanakan yang melibatkan kerja-kerja pemasangan lampu solar, pembaikan dewan dan tabika, pembaikan ruang riadah dan sukan serta naik taraf infrastruktur rekreasi dan sosial.
Turut diadakan ialah program keceriaan gotong royong dan kenduri rakyat.
“Pemilihan kampung ini adalah bertepatan dengan kriteria yang digariskan oleh kerajaan iaitu kampung yang mempunyai liputan kemudahan bawah 50 peratus atau mempunyai kemudahan asas daif dan tidak lengkap serta memerlukan perhatian khusus,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Menurutnya, Program Kampung Angkat MADANI ini memberi peluang kepada masyarakat desa untuk memperbaiki taraf hidup dan mengurangkan jurang ketidaksamaan antara bandar dan desa.
Program ini memberi tumpuan kepada pengukuhan jaringan sosial, pembangunan kapasiti individu, serta memperluas akses kepada peluang pembangunan yang lebih baik.
Beliau turut yakin dengan semangat kerjasama dan komitmen daripada semua pihak, akan dapat mencapai visi untuk membangunkan kampung-kampung di seluruh negara ke arah masyarakat yang lebih sejahtera, maju dan berdaya saing.
“Majlis Penyerahan Projek ini merupakan simbolik komitmen kerajaan dalam membangunkan infrastruktur dan meningkatkan taraf hidup dan kesejahteraan rakyat sekaligus menyemai semangat kebersamaan dan memperkukuh jalinan silaturahim antara Kerajaan dengan rakyat,” katanya.