BA’KELALAN, 11 Nov: Briged Kesembilan Infantri Malaysia (9 Briged) telah menganjurkan Program Jiwa Murni (PJM) di bawah Teras 4 Pelan Strategik MINDEF (PSM) 2021 – 2025, Sinergi Tentera Darat dan Rakyat: Tunjang Kedaulatan Negara di Ba’kelalan selama dua hari mulai 8 hingga 9 November lalu.
Program yang julung kalinya dilaksanakan di pedalaman Sarawak telah dirasmikan Panglima 9 Briged, Brigedier Jeneral Ahmad Norzaini Badrun.
Sebanyak empat aktiviti dalam program ini merangkumi ceramah kerjaya Angkatan Tentera Malaysia (ATM), perkhidmatan kesihatan, pemeriksaan pergigian serta pameran ketenteraan dan promosi Askar Wataniah.
Pelaksanaan program secara berkolaborasi ini bertujuan untuk membentuk jalinan kerjasama antara ATM amnya dan 9 Briged khasnya bersama masyarakat Ba’kelalan selain memudahkan operasi persempadanan daratan Malaysia-Indonesia yang tidak jauh dari kampung tersebut.
Ia sekali gus memberi peluang kepada warga ATM terus memberi sumbangan khidmat bakti kepada masyarakat serta kesedaran sivik di dalam jati diri masyarakat setempat walaupun suasana perjalanan yang mencabar dan memerlukan kira-kira 20 jam dari Sibu.
Antara program yang dilaksanakan di Sekolah Kebangsaan (SK) Ba’kelalan pada 8 November ialah ceramah motivasi dan kerjaya ATM, ceramah dan demonstrasi pertolongan cemas serta penjagaan gigi.
Pada masa yang sama, turut diadakan pameran ketenteraan bagi menarik minat dan menyematkan semangat patriotisme para pelajar, bak kata pepatah melentur buluh biarlah dari rebungnya.
Di samping itu, program PSM ini diteruskan lagi perkhidmatan pemeriksaan kesihatan dan pergigian secara percuma di Dewan Buduk Nur, Ba’kelalan pada 9 November.
Mengambil kesempatan dalam program ini, Rejimen 510 Askar Wataniah juga tidak melepaskan peluang melaksanakan pameran ketenteraan dan promosi kerjaya Askar Wataniah bagi penduduk Ba’kelalan.
Ahmad Norzaini Badrun berkata, program PSM sebegini secara tidak langsung dapat memperkasakan hubungan ATM dan rakyat khususnya penduduk di Ba’kelalan yang memainkan peranan penting dalam menghadapi sebarang ancaman jenayah lintas batas di mana ia berpotensi menjejaskan keselamatan perbatasan negara.-TVS



