KUCHING, 11 Nov: Sarawak akan memperkenal Skim Pembiayaan Pembangunan Mampan untuk membiayai usaha penurunan karbon dan menyokong inisiatif peralihan hijau.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, skim tersebut akan dilaksanakan melalui Bank Pembangunan Sarawak (DBOS) dengan peruntukan kewangan RM50 juta.
“Skim ini berdasarkan konsep kewangan hijau dan mampan. Sebagai permulaan, DBOS hanya akan menawarkan kemudahan pinjaman kepada peminjam yang layak terutama untuk inisiatif kecil yang menggunakan inovasi terknologi bagi mendorong kepada kelestarian.
“Bagi pembiayaan berskala lebih besar, DBOS akan bertindak sebagai fasilitator atau bekerjasama dengan institusi kewangan dalam memacu akses kepada pembiayaan hijau atau mampan yang besar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan cadangan Belanjawan Negeri 2025 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.
Untuk meningkatkan daya saing perniagaan di pasaran global katanya, Kerajaan Sarawak sedang melaksanakan program pembinaan kapasiti yang direka untuk membekalkan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dengan kemahiran berharga dalam bidang keusahawanan, pengetahuan teknikal, pemasaran digital dan promosi produk.
“Pada tahun 2025, sebanyak RM3.1 juta diperuntukkan untuk program-program ini bagi meningkatkan kapasiti dan prestasi PKS,” ujarnya.
Sementara itu menurutnya, Kerajaan Sarawak turut memperuntukkan RM8.4 juta menyokong 18 pusat keusahawanan di seluruh wilayah ini.
“Usaha ini adalah untuk menyediakan komuniti luar bandar dan terpencil dengan infrastruktur serta sumber untuk mengembangkan perniagaan mereka,” jelasnya.
Bagi membangunkan usahawan tempatan dan menyokong peniaga mikro, Abang Johari berkata, Kerajaan Sarawak akan terus melaksanakan inisiatif bantuan kewangan seperti dana bantuan khas dan Sarawak Recovery BizFund.
Selain itu menurutnya, bagi memastikan PKS mempunyai sumber untuk berkembang, sejumlah RM15.5 juta dalam bentuk pinjaman mudah dan geran akan disediakan pada 2025.
“Ia untuk membiayai pelbagai program termasuk Skim Kredit Mikro Sarawak, Skim Pinjaman Industri Kecil dan Sederhana, Program Graduan ke Arah Keusahawanan dan Program GoDigital,” kata Abang Johari.-TVS



