KUCHING, 11 Nov: Sarawak dijangka mencatat pendapatan berjumlah RM14.2 bilion pada 2025, kata Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Beliau berkata, jangkaan pendapatan tersebut merupakan yang tertinggi pernah diunjurkan hasil komitmen kukuh dalam meningkatkan kelestarian fiskal negeri.
“Anggaran pendapatan dijangka diperoleh menerusi sumber utama seperti pendapatan cukai berjumlah RM6.2 bilion atau 44 peratus, pendapatan bukan cukai RM7 bilion atau 49 peratus, penerimaan bukan pendapatan RM32 juta, geran dan bayaran balik Persekutuan RM937 juta,” katanya.
Abang Johari berkata demikian ketika membentangkan cadangan Belanjawan Negeri 2025 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.
Sementara itu menurutnya, sebanyak RM13.7 bilion dicadangkan untuk perbelanjaan mengurus yang mana RM4.9 bilion untuk perbelanjaan operasi manakala RM8.8 bilion diperuntukkan kepada akaun dana pembangunan.
“Peruntukan ini bertujuan untuk menambah baki yang dibawa ke hadapan dalam akaun dana pembangunan bagi membiayai belanjawan perbelanjaan pembangunan 2025 yang dianggarkan berjumlah RM10.9 bilion.
“Perbelanjaan operasi berjumlah RM4.9 bilion adalah untuk membiayai emolumen penjawat awam (RM1.2 bilion atau 24 peratus), RM1.9 bilion atau 39 peratus untuk bekalan dan perkhidmatan, RM1.6 bilion atau 33 peratus untuk geran dan pembayaran tetap, RM96 juta untuk perolehan aset serta RM113 juta perbelanjaan operasi lain,” ujarnya.
Tambahnya, perbelanjawan awam yang berkesan adalah penting untuk merangsang pertumbuhan ekonomi, menyediakan perkhidmatan awam yang penting dan membiayai pelaburan yang menyokong keperluan semasa serta pembangunan masa depan.
“Oleh itu, adalah penting untuk mengutamakan perbelanjaan kita kepada aktiviti berimpak tinggi dan produktif selain memastikan program dan projek dilaksanakan dengan cekap,” jelasnya.-TVS



