KUCHING, 11 Nov: Sebanyak RM1.42 bilion diperuntukkan untuk mengubah sistem pengangkutan Sarawak di bawah pembiayaan alternatif.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, peruntukan tersebut akan digunakan untuk pembinaan tiga laluan Transit Aliran Autonomi (ART), pembinaan bangunan utama Depo Rembus, pembinaan depo bas perantara serta penyediaan bas perantara dan ART.
“Projek Sistem Pengangkutan Bandar Kuching (KUTS) akan mengubah sistem pengangkutan awam Sarawak dengan menyediakan pengangkutan pintar dan tanpa halangan yang meningkatkan daya hubung antara kawasan bandar dengan luar bandar.
“Inisiatif ini bukan sahaja mempromosikan pertumbuhan ekonomi tetapi menyumbang kepada kelestarian alam sekitar dengan mengurangkan pelepasan karbon,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan cadangan Belanjawan Negeri 2025 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.
Menurutnya lagi, sebanyak RM8 juta disediakan untuk pelaksanaan perkhidmatan bas pintar di Miri dan RM1 juta bagi pembinaan terminal bas di Kapit.
Sementara itu katanya, satu kajian kebolehlaksana terperinci akan segera dijalankan mengenai pembangunan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) yang baharu.-TVS



