KUCHING, 11 Nov: Peruntukan awal sebanyak RM200 juta disediakan Kerajaan Sarawak untuk membina perumahan dan kemudahan baharu penjawat awam bermula tahun depan.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, perkara tersebut penting bagi menangani kekurangan perumahan kerajaan untuk penjawat awam.
“Kita akan membina perumahan dan kemudahan baharu untuk penjawat awam di seluruh Sarawak dengan nilai skim RM3.55 bilion yang dijangka dimulakan pada 2025,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan Rang Undang-undang Perbekalan (2025), 2024 pada pembukaan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini, hari ini.
Tambahnya, pentadbiran beliau juga akan menumpukan perhatian kepada kebajikan dan kesejahteraan kakitangan Perkhidmatan Awam Sarawak (SCS) ekoran kos sara hidup yang semakin meningkat.
“Selaras dengan pembaharuan Perkhidmatan Awam Kerajaan Persekutuan, SCS juga telah menerima pakai Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) yang diumumkan baru-baru ini.
“Dengan SSPA ini juga, kita akan menanggung sejumlah RM67 juta dalam Bajet 2025,” ujarnya.
Dalam hal berkaitan, Abang Johari yang juga Menteri Kewangan dan Ekonomi Baharu memaklumkan kerajaan akan menambah inisiatif dengan menyediakan elaun khas untuk kakitangan SCS.
Ini merupakan satu usaha untuk mengiktiraf sumbangan dan dedikasi mereka, dengan impak kewangan tahunan awal sebanyak RM102 juta pada 2025.
“Selaras dengan pembaharuan ini, kami akan memperkenalkan Sistem Prestasi Pengurusan yang dipertingkatkan untuk SCS ke arah mewujudkan perkhidmatan awam yang dipacu hasil dan bertaraf dunia.
“Oleh itu, saya menyeru kepada semua penjawat awam untuk meneruskan dedikasi dan usaha tanpa henti dalam meningkatkan produktiviti dan penyampaian perkhidmatan lebih berkesan kepada rakyat,” jelasnya.
Terdahulu, beliau menyatakan bahawa kerajaan menyedari kepentingan kesejahteraan SCS.
Maka itu, beberapa siri inisiatif akan dilaksanakan pada 2025 bagi menggalakkan pembangunan holistik serta kesejahteraan kakitangan awam.
“Inisiatif ini juga akan disediakan dengan bajet sebanyak RM1.8 juta,” katanya.-TVS



