KUCHING, 11 Nov: Pindaan Rang Undang-undang (RUU) Pengagihan Gas 2024 adalah satu langkah penting untuk memperkasakan ekonomi Sarawak dengan pengeluaran sendiri hidrogen sebagai sumber utama.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro, Safiee Ahmad berkata, dasar yang lebih jelas tentang pengeluaran sendiri sumber tenaga seperti hidrogen adalah selaras dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS) agar negeri ini berdikari dalam memajukan industri tersebut.
“Selain itu, perundangan itu akan memacu pembangunan sosioekonomi Sarawak dengan menarik pelabur antarabangsa dan tempatan serta mewujudkan pekerja mahir, yang memberi peluang kepada rakyat kita.
“Memandangkan kesedaran semakin meningkat tentang kepentingan tenaga hijau dalam kalangan rakyat Sarawak, ia juga membawa kepada peningkatan dalam memberi tumpuan kepada usaha membangunkan kepakaran teknikal dan kemahiran ‘interpersonal’.
“Ia sekali gus bagi memastikan rakyat bersedia untuk tenaga kerja,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa membahaskan RUU Pengagihan Gas (Pindaan) 2024 pada Persidangan Hari Pertama Mesyuarat Kedua Bagi Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-19 di sini, hari ini.
Tambahnya, ia menyumbang secara langsung kepada aspirasi PCDS 2030 untuk meningkatkan pendapatan isi rumah.
Jelasnya, Sarawak telah berusaha memajukan tenaga boleh diperbaharui sejak 2017 dengan komitmen berterusan.
Oleh yang demikian, beliau mengajak rakyat menyokong transformasi undang-undang tersebut untuk meningkatkan kemakmuran dan kesejahteraan Sarawak.
Sementara itu, beliau menjelaskan objektif teras pindaan undang-undang itu, iaitu memudahkan urusan pembangunan, penjanaan, pengedaran dan penggunaan hidrogen sebagai sebahagian daripada peralihan tenaga hijau Sarawak.
Ia juga mewujudkan peruntukan undang-undang untuk melantik pengawal selia bagi menyelia aktiviti berkaitan hidrogen di Sarawak.
Selain daripada itu, ia menggabungkan kesalahan dan penalti baharu berkaitan aktiviti hidrogen selain membenarkan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri untuk mengenakan kadar levi, cukai atau caj ke atas aktiviti hidrogen melalui undang-undang negeri.-TVS

