NUSANTARA, 11 Nov: Karuna Venture Holding, sebuah syarikat teknologi terkemuka di Sarawak telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan sebuah syarikat teknologi dari Indonesia.
Menerusi satu kenyataan, Karuna Venture Holding berkata, perjanjian ini akan membuka peluang baharu terutama kerjasama strategik dalam sektor teknologi di Nusantara, dengan fokus utama untuk mempercepatkan transformasi ekonomi dan digital di seluruh rantau ini.
“Perkongsian strategik ini bertujuan untuk menggabungkan kekuatan dan kepakaran kedua-dua syarikat dalam memacu inovasi, perkongsian pengetahuan, dan penyelesaian teknologi yang akan menyokong visi Indonesia untuk Nusantara dan ibu kota baharunya.
Selain itu, ia juga akan memberikan sumbangan signifikan kepada pembangunan dan kemakmuran keseluruhan wilayah Borneo,” kata kenyataan tersebut.
Mengulas lanjut, Karuna Venture Holding berkata, MoU itu juga merupakan kemuncak bagi delegasi perniagaan “Memajukan IKN, Memperkaya Borneo” yang dianjurkan oleh Konsulat Indonesia, dengan penyertaan lebih 180 syarikat dari Sarawak.
“Inisiatif ini menggambarkan komitmen Indonesia untuk memperkukuh kerjasama serantau, sambil membuka peluang luas bagi perniagaan Sarawak sekali gus berperanan dalam pembangunan projek Ibu Kota Negara (IKN) yang mengutamakan inovasi dan teknologi,” jelas kenyataan itu lagi.
Turut hadir pada majlis MoU tersebut ialah Presiden Persekutuan Persatuan Perniagaan Sarawak Dato Sri Abang Abdul Karim Tun Openg, Datuk Bandar Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU), Hilmi Othman, dan Konsul Jeneral Republik Indonesia di Kuching, Raden Sigit Witjaksono. -TVS


