KUCHING, 11 Nov: Rang Undang-Undang (RUU) Pindaan Pengagihan Gas (2024) diperkenalkan bagi mengawal selia aktiviti pengagihan hidrogen di Sarawak.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Dato Sri Julaihi Narawi berkata, ia melibatkan bahan mentah yang dikeluarkan, diperoleh atau diimport ke Sarawak.
“Pada masa sama, ia turut melibatkan premis digunakan untuk tujuan penjanaan atau penyimpanan hidrogen, pengangkutan untuk pengedaran dan penghantaran hidrogen kepada pengguna di Sarawak selain untuk eksport,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan RUU Pindaan Pengagihan Gas (2024) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini hari ini.
Pindaan tersebut antara lain merangkumi maksud gas yang akan merangkumi hidrogen sebagai salah satu jenis gas yang dikawal selia di bawah ordinan utama selain turut menggabungkan peruntukan baharu di bawah Bahagian IVA bagi mengawal selia secara khusus aktiviti berhubung hidrogen.
Menteri bertanggungjawab ke atas pelaksanaan dan pentadbiran Bahgaian IVA adalah menteri bertanggungjawab bagi tenaga dan kelestarian alam sekitar.
Selain itu katanya, pindaan RUU tersebut juga memperkenalkan kesalahan baharu dan penalti berhubung sebarang aktiviti yang tidak dibenarkan berkaitan dengan hidrogen.
“Sebarang aktiviti yang berkaitan dengan penjanaan, penyimpanan, pengedaran atau penggunaan hidrogen yang dijalankan tanpa lesen akan menjadi kesalahan.
“Ia boleh dihukum denda dengan jumlah minimum daripada RM500,000 sehingga RM1 juta dan/atau penjara sehingga lima tahun,” jelasnya.
Selain RUU Pengagihan Gas (Pindaan) 2024, RUU Perbekalan 2025, RUU Perbekalan (Tambahan) 2024 dan RUU Sumber Asli dan Alam Sekitar 2024 juga dibentangkan pada hari pertama persidangan DUN. -TVS


