KUCHING, 11 Nov: Budaya bermukun menunjukkan kesefahaman mendalam dari aspek seni budaya tiga negara berjiran iaitu Malaysia, Brunei Darussalam dan Indonesia, kata Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Beliau berkata, perbezaan budaya antara negara serumpun hanya terletak pada nama namun dari segi intipatinya adalah sama.
“Apapun persembahan budaya antara Indonesia, Sabah, Brunei dan sebagainya, kalau daripada aspek nyanyian sama, dari aspek makan pun sama, hanya beza nama saja.
“Kalau di Sarawak, Sagu disebut Linut, di Brunei disebut Ambuyat, tapi cara makannya adalah sama sebab itu hanya perbezaan dari sudut sebutan sahaja.
“Apabila bermukun, bezanya sudah tentu menggunakan perkataan-perkataan dari negara masing-masing,” katanya.
Beliau berucap pada Malam Segulai Sejalai Bermukun Seborneo di sebuah hotel di sini, malam ini.
Beliau turut berkongsi asal usul bermukun dari perspektif Sarawak yang diadakan pada majlis perkahwinan sebagai wadah pertemuan antara lelaki dan wanita yang belum berumah tangga.
“Kerana dulu belum ada Whatsapp dan tidak ada video untuk kita bertukar-tukar tapi orang bujang ada tempat strategik mereka sendiri apabila datang ke majlis perkahwinan iaitu tempat membasuh pinggan di dalam perahu, kerana di situlah tempat anak dara berada.
“Kalau betul GPS nya(kedudukan), pada sebelah malam akan diadakan majlis bergendang.
“Waktu itu lah pantun bertukar-tukar di mana mak gendang akan diminta untuk berpantun bagi pihak lelaki,” ujarnya.
Abang Johari turut menekankan kepentingan kerjasama erat antara ketiga-tiga negara untuk mempertahan dan mengembangkan budaya seni Melayu daripada ancaman kepupusan.
Bermukun se-Borneo 2024 dianjurkan pada 7 hingga 11 November lepas bertujuan mengetengahkan seni budaya bermukun dalam kalangan masyarakat serantau melibatkan negara Malaysia, Indonesia dan Brunei Darussalam.
Program kerjasama serumpun tiga negara itu menjadi landasan terbaik untuk terus memartabatkan seni budaya bermukun dalam kalangan masyarakat serantau sekali gus membantu mewujudkan masyarakat yang mempunyai keutuhan jati diri, mempertahankan warisan dan mempunyai keprihatinan terhadap sumbangan seni dan budaya.
Turut hadir Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Timbalan Ketua Pengarah Penyiaran (Strategik), Nasaruddin Abdul Muttalib, Konsulat Jeneral Republik Indonesia Kuching, Dr. Raden Sigit Witjaksono, Timbalan Konsul Agung Negara Brunei Darussalam, Thomas Ling dan Pesuruhjaya Polis Sarawak Dato Mancha Ata. – TVS



