KUCHING, 30 Okt: Perayaan Deepavali atau Pesta Cahaya yang akan diraikan esok pastinya membawa erti yang cukup bermakna bagi penganut Hindu dan peluang untuk rakyat Malaysia meraikan dan berkongsi kemeriahan secara bersama.
Amalan bersama-sama meraikan dan berkongsi kemeriahan sambutan perayaan kaum lain dianggap sebagai satu keistimewaan yang perlu dijaga, diharmonikan serta dipelihara oleh semua rakyat Malaysia.
Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, keistimewaan yang dinikmati itu merupakan satu kesempatan untuk semua rakyat Malaysia bersama-sama meraikan kepelbagaian budaya sekali gus mewujudkan perpaduan kaum.
“Deepavali adalah waktu yang sempurna untuk merenung tentang nilai-nilai perpaduan dan keharmonian dalam masyarakat kita. Deepavali bukan sahaja dirayakan oleh penganut Hindu, tetapi ia juga merupakan satu kesempatan untuk semua rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan agama untuk bersama-sama meraikan kepelbagaian budaya yang kita miliki.
“Dalam konteks negara kita, yang kaya dengan warisan dan tradisi yang berbeza, adalah penting bagi kita untuk menghormati dan menghargai setiap perayaan yang disambut oleh semua lapisan masyarakat,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Bangga dengan kepelbagaian kaum di negara ini, Aaron Ago berkata, keistimewaan itu adalah hasil daripada semangat kebersamaan dan kesepaduan rakyat yang sentiasa menjaga nilai muhibbah, toleransi serta harmoni meskipun berbeza agama.
Dalam pada itu, beliau menyifatkan perayaan Deepavali membawa erti bermakna dalam memupuk keharmonian di Malaysia.
“Dalam semangat Deepavali, kita memperkukuh ikatan silaturahim antara satu sama lain, tidak mengira agama, bangsa atau budaya. Inilah masanya kita merayakan kepelbagaian yang menjadi kekuatan negara kita dan mengeratkan perpaduan yang telah lama terjalin.
“Keharmonian dan persefahaman inilah asas yang membina negara yang aman dan makmur. Moga semangat Deepavali menerangi jalan menuju masa depan yang lebih cerah untuk semua,” ujarnya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, perayaan Deepavali melambangkan harapan dan kesedaran rohani yang dapat menghapuskan kegelapan dalam kehidupan.
Dalam kesempatan itu, beliau turut mengucapkan selamat Deepavali kepada penganut agama Hindu.
“Saya dan seluruh tenaga kerja Kementerian Perpaduan Negara ingin mengucapkan Selamat Menyambut Hari Deepavali kepada semua rakyat Malaysia yang beragama Hindu,” katanya lagi. -TVS