KUALA LUMPUR, 28 OKT: Sebanyak 139,578 kapasiti tempat duduk ditambah bagi menampung pengurangan tempat duduk penerbangan Malaysia Airlines Berhad (MAB) hingga Disember depan, kata Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah.
Menurut Hasbi, penambahan itu melibatkan syarikat penerbangan AirAsia, AirAsia X dan Batik Air menambah kapasiti sebanyak 139,578 tempat duduk bagi menampung kekurangan itu.
“Pembatalan sementara bagi penerbangan yang terjejas dari Ogos hingga Disember 2024 sudah pun dimaklumkan kepada penumpang dan segala proses pemakluman itu kebanyakannya selesai.
Menurutnya mereka yang terjejas ditawarkan peruntukan semula tiket penerbangan.
“Penumpang akan diperuntukkan semula tiket penerbangan pada sehari sebelum atau selepas penerbangan asal atau penerbangan berikutnya yang tersedia.
“Pilihan pertama peruntukan semula yang ditawarkan adalah kepada mana-mana penerbangan MAB yang tersedia dan sekiranya penerbangan MAB tidak tersedia, peruntukan tiket baru menggunakan syarikat penerbangan lain akan disediakan.
“Selepas penumpang dimaklumkan pelan peruntukan semula berkenaan, penumpang masih mempunyai pilihan sama ada untuk menerima, mengubah suai atau meminta bayaran balik,” jelasnya
Selain itu, sebanyak 1.42 juta tempat duduk ditawarkan penerbangan negara menyediakan perkhidmatan penerbangan domestik bagi laluan ke Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan bagi tempoh bulan ini saja.
Berhubung kos tiket penerbangan, Hasbi memberitahu harga tambang penerbangan ditentukan oleh kuasa permintaan dan penawaran.
“Harga tiket akan meningkat pada musim cuti dan perayaan disebabkan permintaan yang tinggi untuk tempoh perjalanan yang sama.
“Untuk tempoh puncak ini, permintaan adalah melebihi kapasiti yang boleh disediakan oleh syarikat-syarikat penerbangan,” jelasnya.