KUALA LUMPUR, 19 Okt: Kajian Pembangunan Model Kesepaduan Sosial Sabah dan Sarawak mendapati media sosial merupakan cabaran yang akan menghakis kesepaduan sosial terutama dalam kalangan anak muda.
Sehubungan itu Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang berkata, penguatkuasaan undang-undang siber perlu dilaksanakan bagi membendung hakisan sosial yang berlaku dalam talian.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Lan Berambeh Anak Sarawak 2024 berkata, kajian berkenaan juga mendapati generasi muda cenderung percaya kepada berita palsu dikongsi dalam alam maya yang sering menganggu keharmonian etnik.
“Oleh itu kajian dilakukan oleh Kementerian Perpaduan Negara perlu diteruskan bagi memastikan kawalan sosial di platform terus dilaksanakan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis Makan Malam Lan Berambeh Anak Sarawak kali ke-15 di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC), di sini hari ini.
Majlis diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan isteri, Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi.
Turut hadir, Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan Timbalan Perdana Menteri,Datuk Seri Fadillah Yusof.
Sementara itu Aaron Ago memaklumkan kajian oleh pasukan penyelidik dari Universiti Malaysia Sabah (UMS) pula mendapati, tahap kesepaduan sosial di dua wilayah berkenaan berada pada tahap tinggi.
“Perbezaan etnik, agama dan latar belakang budaya masyarakat di Sarawak (dan Sabah) bukan penghalang kepada terbentuknya kesepaduan sosial.
“Modal kesepaduan sosial yang ada di Sabah dan Sarawak ini boleh dijadikan panduan dan amalan dalam merangka program dan integrasi nasional,” katanya lagi.
Aaron berkata nilai-nilai kebersamaan, kekitaan, keterbukaan, keterangkuman dan penghayatan juga membawa kepada kesepaduan sosial. -TVS