MIRI, 9 Okt: Pelabur atau syarikat yang berminat dengan sebarang projek pemerangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon (CCUS) di Sarawak perlu berhubung terus dengan PETROS yang merupakan pengurus sumber.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, setakat ini Sarawak mempunyai tiga projek CCUS termasuk satu projek melibatkan penyertaan konsortium minyak dan gas dari Jepun.
“Kita telah menggubal undang-undang untuk mempromosikan dan membangunkan CCUS di kawasan luar pesisir Sarawak.
“Ini adalah rangka kerja undang-undang yang mana kita boleh membangunkan dan mempromosikan agenda hijau yang mana karbon boleh disimpan di perairan Sarawak.
“Kita mempunyai rangka kerja perundangan dan undang-undang. PETROS merupakan pengurus sumber untuk mempromosikan dan membangunkan tapak penyimpanan karbon,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap menyempurnakan pembukaan Ibu Pejabat Shell Malaysia Upstream Miri malam tadi.
Abang Johari menjelaskan, Kerajaan Sarawak memberi sokongan kepada sektor korporat dan semua syarikat minyak yang beroperasi di wilayah ini.-TVS



