KUCHING, 10 Okt: Lan Berambeh Anak Sarawak kembali lagi pada 19 Oktober dengan tema Memperkasa Ekonomi Baharu Sarawak yang bakal berlangsung di Pusat Pameran Dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) Kuala Lumpur.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi yang juga pengerusi jawatankuasa induk acara berkata, program edisi ke-15 tahun ini dijangka dihadiri lebih 6,500 anak Sarawak yang belajar, bekerja dan menetap di Semenanjung Malaysia.
Menurutnya, program kali ini akan diisi dengan pelbagai aktiviti termasuk Sarawak Agenda Townhall melibatkan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg bersama-sama pelajar universiti dan kolej di institusi pengajian tinggi di Semenanjung.
“Jadi dijangka diserta 6,500 orang pada malam itu di majlis makan malam Lan Berambeh. Tapi Lan Berameh ini bermula dari awal pagi dengan beberapa program termasuk Town Hall.
“Yang kita ada maklumkan setakat ini lebih 3,000 orang akan datang ke MITAC sepanjang hari itu dengan beberapa program,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa ditemui media selepas melakukan kunjungan hormat kepada Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar di Astana Negeri Sarawak di Kuching pada Khamis.
Menurutnya, Tun Wan Junaidi dan isteri Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi bakal hadir ke acara Lan Berambeh Anak Sarawak 2024.
Tambahnya, kehadiran Tun Wan Junaidi dan isteri menyerikan acara tahunan tersebut.
“Tahun ini lebih menarik kerana buat pertama kali Tun Wan Junaidi hadir sebagai Yang di-Pertua Negeri Sarawak,” ujarnya.-TVS


