PUTRAJAYA, 10 Okt: Kementerian Kesihatan (KKM) menerima sebanyak 59,860 panggilan berkaitan tingkah laku cubaan bunuh diri menerusi Talian Bantuan Krisis Kesihatan Mental atau Talian HEAL 15555 bagi tempoh 2022 hingga 9 Oktober 2024.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata daripada jumlah itu, seramai 138 individu dikenal pasti sudah melakukan cubaan untuk membunuh diri.
Jelas beliau, seramai 35,590 memerlukan bantuan emosi dan juga intervensi khusus bersifat psiko pendidikan untuk memberi ketrampilan mengurus atau ‘coping skill’.
“Seramai 24,270 individu memerlukan kaunseling.
“Kita juga mengenal pasti tingkah laku atau kecenderungan aspek membunuh diri ini melibatkan 336 kes dengan 198 daripadanya menunjukkan pemikiran ke arah membunuh diri,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Sambutan Hari Kesihatan Mental Sedunia 2024 Peringkat Kebangsaan di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), Datuk Dr. Norhayati Rusli dan Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perkhidmatan Farmasi), Norhaliza A. Halim.
Mengulas lanjut, Dr. Dzulkefly berkata, melihat kepada jumlah yang membimbangkan itu, KKM akan mempertingkatkan intervensi terutamanya di peringkat awal bagi membantu dan menyelamatkan nyawa individu terbabit.
“Kemurungan ini bukan sahaja berlaku di tempat kerja tetapi di sekolah juga, sebab itu sangat mustahak untuk mewujudkan suasana empati dan budaya kerja yang adil,” ujarnya.
Dr Dzulkefly menambah Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2023 pula menunjukkan satu juta rakyat Malaysia berumur 16 tahun dan ke atas mengalami kemurungan.
Daripada jumlah itu, katanya prevalen kemurungan dalam kalangan warga bekerja adalah sebanyak empat peratus.
Dr. Dzulkefly menekankan usaha bagi menangani isu kesihatan mental di tempat kerja secara tuntas memerlukan komitmen padu daripada semua pihak.
Hari Kesihatan Mental Sedunia disambut setiap tahun pada tanggal 10 Oktober bagi menekankan aspek pendidikan kesihatan mental global serta kesedaran dan advokasi terhadap stigma sosial – TVS.

